by on 01/02/2023 2595
Highlights |
|
Prasekolah Tender Tots yang terletak di Taman Puncak Kinrara merupakan impian Puan Samantha Too, iaitu pengetua tadika ini. “Saya telah berkecimpung dalam bidang pendidikan dan penjagaan awal kanak-kanak selama lebih daripada 20 tahun,” katanya. Puan Samantha Too lebih dikenali sebagai Pengetua Sam di kalangan para pelajar dan gurunya. Pengetua Sam adalah seorang yang peramah dan rendah diri. Dia sentiasa tersenyum dan mempunyai sikap mudah bergaul. Sesiapa pun akan berasa selesa di sisinya walaupun pada kali pertama berjumpa dengannya.
“Kamu perasan betapa senyap dan tenteram kawasan ini?” tanya Pengetua Sam. Pertanyaannya menyedarkan saya bahawa tadika ini dikelilingi oleh alam semula jadi dan persekitarannya adalah amat tenang dan tenteram. Pengetua Sam menjelaskan bahawa zaman kanak-kanak adalah masa yang paling berharga dan penting bagi setiap orang. Dalam tempoh pembesaran kanak-kanak, mereka haruslah diberi kebebasan untuk belajar, meneroka, membuat kesilapan dan membesar. Maka, persekitaran yang dikelilingi oleh alam semula jadi begini adalah paling bagus untuk perkembangan kanak-kanak.
Waktu persekolahan di Tender Tots bermula pada pukul 8.00 pagi serta berakhir pada pukul 1.00 tengah hari untuk kanak-kanak setengah hari dan pukul 6.30 petang bagi kanak-kanak sepenuh hari. Semua kanak-kanak akan mencuci tangan mereka sebelum dan selepas makan. Suhu badan mereka juga akan diambil dan dicatatkan pada setiap hari. Makanan yang sihat dan berkhasiat disediakan untuk kanak-kanak pada setiap pagi dan tengah hari mengikut menu yang telah dirancang dan disediakan dengan teliti.
Tender Tots menyediakan pendidikan prasekolah holistik berstruktur yang juga menarik serta menyeronokkan. Mata pelajaran asas termasuk Bahasa Inggeris, Bahasa Malaysia, Bahasa Mandarin, Sains dan Matematik. Bagi bahasa pula, guru menggabungkan fonik dengan pembelajaran deria untuk memudahkan pembelajaran membaca dan menulis. Tender Tots juga menjalankan kelas Penemuan Sains untuk menggalakkan integrasi ibu bapa dan kanak-kanak melalui pelbagai projek amali (hands-on projects). Selain itu, buku Grolier digunakan untuk menjadikan pembelajaran bahasa Inggeris menyeronokkan melalui cerita yang menarik, dan program Musikgarten digabungkan untuk menyemai minat muzik kepada kanak-kanak. Kurikulum Tender Tots turut mengandungi kelas pengayaan (enrichment classes) seperti Budding Beans (sebuah program pertuturan Bahasa Inggeris), Taekwando, Muzik & Pergerakan serta Seni & Kraf.
Seluruh kurikulum Tender Tots merangkumi arahan pelbagai deria (multi-sensory instructions). Kanak-kanak didedahkan kepada perangsangan deria (sensory stimulation) secara berstruktur dan berulang dengan mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti penyepaduan deria. Aktiviti begini menggalakkan kanak-kanak menggunakan deria mereka secara aktif sambil mereka meneroka aktiviti tersebut. Ini adalah amat penting untuk perkembangan otak kanak-kanak. Lama-kelamaan, kanak-kanak akan dapat melaksanakan tugas yang lebih rumit. Kemahiran kognitif, kemahiran motor, kemahiran berkomunikasi, kemahiran sosial serta kemahiran untuk menyelesaikan masalah kanak-kanak juga akan meningkat. Semua ini dapat dicapai sementara kanak-kanak menjalankan pelbagai aktiviti yang menyeronokkan.
Di Tender Tots sentiasa terdapat pelbagai aktiviti yang menyeronokkan. Kanak-kanak tidak hanya belajar di dalam bilik darjah, mereka juga mempunyai lawatan yang menyeronokkan seperti melawat Zoo Negara dan Bank Negara ataupun berkelah di Bukit Jalil. Semua aktiviti tersebut telah dirancang dengan teliti dan terdapat pelajaran serta tema yang akan disampaikan sebelum, semasa dan selepas aktiviti tersebut. Kanak-kanak juga boleh menyertai hari sukan, konsert tamat pengajian, sambutan perayaan dan banyak lagi pengalaman menyeronokkan yang lain.
Selain itu, Tender Tots juga menawarkan perkhidmatan tuisyen dan penjagaan kanak-kanak selepas sekolah. Guru akan memastikan bahawa kanak-kanak dibantu dalam kerja rumah sekolah mereka, mandi dan diberi makanan yang sihat. Pengangkutan disediakan untuk pelajar yang bersekolah di SJK(C) Shin Cheng (Harcroft).
Di Tender Tots, harapan Pengetua Sam adalah untuk memberi kegembiraan dan senyuman kepada setiap kanak-kanak semasa zaman kanak-kanak mereka yang amat berharga ini. Ini sememangnya satu cita-cita yang tinggi dan murni. Namun, tiada apa-apa yang akan tercapai tanpa impian. Maka, kami berharap Pengetua Sam akan meneruskan impiannnya.
Klik sini untuk laporan Sin Chew Daily terkini mengenai langkah berjaga-jaga yang diambil oleh Prasekolah Tender Tots untuk mencegah penyebaran coronavirus.