by on 26/01/2017 2377
Sebaik saja kami tiba di Villamaria Good Shepherd Kindergarten & Nursery di Medan Damansara ini, kami dapat merasakan udara di sekitarnya yang bersih dan segar. Persekitaran tadika seluas 3.5 ekar ini kelihatan seperti sebuah tempat percutian kerana terdapat banyak pokok besar, tumbuh-tumbuhan dan bunga, laluan pejalan kaki berbumbung serta taman permainan kanak-kanak di dalam dan di luar rumah.
Villamaria ditubuhkan pada tahun 1957 (di Jalan Ampang). Visi prasekolah ialah “Nilai seorang individu adalah lebih tinggi daripada nilai seluruh dunia.” Oleh itu, mereka mula menubuhkan tadika dan taska dengan tujuan membantu kumpulan kurang bernasib baik dan terpinggir sambil menjana pendapatan. Keuntungan daripada Villamaria masih digunakan untuk membiayai kerja-kerja amal di Malaysia sehingga hari ini.
Misi untuk membantu masyarakat dengan penuh kasih sayang serta memperkasakan setiap individu telah menjadi pedoman Villamaria. Oleh itu, kebajikan dan kesejahteraan setiap kanak-kanak sentiasa diutamakan.
Terdapat lima nilai teras yang akan disemai dalam setiap pelajar Villamaria, iaitu hormat-menghormati, berterima kasih, integriti, belas kasihan dan bersemangat. Bilik darjah di Villamaria turut dinamakan mengikut nilai-nilai tersebut sebagai satu peringatan kepada kanak-kanak. Guru pula sentiasa mencari peluang untuk memperkenalkan dan menjelaskan nilai-nilai ini untuk membantu kanak-kanak mempraktikkannya dalam kehidupan harian mereka. Cara ini adalah amat berkesan. Ada ibu bapa yang menyatakan bahawa kanak-kanak yang belajar di Villamaria adalah lebih berkelakuan baik apabila mereka memasuki sekolah rendah kelak.
Saya percaya bahawa visi, misi dan nilai teras kami yang berjaya meyakinkan ibu bapa supaya menghantar anak mereka ke sini. Ibu bapa tahu bahawa guru kami yang mempunyai kelayakan dan pengalaman adalah amat komited untuk menjaga setiap kanak-kanak di sini dengan sebaik mungkin serta memastikan perkembangan fizikal, emosi dan intelektual mereka secara menyeluruh
“Ibu bapa amat berpuas hati dengan kemudahan di sini. Antaranya termasuklah bilik darjah yang mempunyai pengudaraan yang baik dan luas, pusat pembelajaran di dalam setiap bilik darjah, makmal komputer, perpustakaan, taman sains, tempat bermain pasir dan air serta taman permainan yang besar. Prasekolah ini mempunyai ruang yang mencukupi untuk pelbagai aktiviti luar kurikulum, termasuklah gimnastik, balet, Aikido, Kickers, seni kreatif, robotik serta kelas tambahan untuk Bahasa Malaysia dan Mandarin. Prasekolah ini juga bersedia untuk menyediakan aktiviti lain yang kanak-kanak minati.”
Kurikulum tadika adalah mengikut Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan yang menggunakan kaedah yang bertumpu pada pelajar serta pembelajaran bertema. Untuk kanak-kanak pra-taska pula, pendekatan berasaskan bermain digunakan dan digabungkan dengan beberapa subjek Montessori. Kanak-kanak juga akan mempelajari tentang perkara yang bukan akademik melalui projek khas seperti Hari Keamanan Sedunia dan Hari Bumi. Ibu bapa turut dijemput untuk menyertai semua aktiviti kami kerana ini boleh mendorong kanak-kanak supaya meneruskan pembelajaran di rumah. Ada ibu bapa yang membantu anak mereka dalam projek tersebut dan ada pula yang membantu guru dalam persediaan konsert tahunan. Pada Hari Sukan, guru juga akan menyediakan acara untuk ibu bapa dan mereka juga boleh memenangi hadiah seperti anak mereka!
Populasi pelajar Villamaria telah meningkat sehingga lebih kurang 300 orang pelajar pada hari ini. Kebanyakan ibu bapa mendapat tahu tentang tadika ini daripada kenalan mereka. Villamaria juga mempunyai reputasi yang baik dalam usaha membantu kanak-kanak dengan keperluan khas serta kanak-kanak yang mempunyai masalah pembelajaran.
Villamaria akan menerima mana-mana kanak-kanak dengan keperluan khas asalkan doktor berkata kanak-kanak berkenaan boleh bergaul dengan kanak-kanak lain. Prasekolah ini juga akan menggalakkan semua pelajar membantu kanak-kanak istimewa tersebut. Dengan demikian, para pelajar juga boleh mempraktikkan nilai-nilai teras kami.
Mereka percaya bahawa tempoh pemerhatian setiap pelajar baru adalah amat penting. Dalam tempoh ini, guru akan cuba mengenal pasti jika terdapat sebarang masalah dengan pelajar baru tersebut. Ini adalah amat penting supaya langkah pencegahan awal boleh dijalankan untuk membantu kanak-kanak tersebut. Jika penilaian profesional diperlukan, kami akan menasihatkan ibu bapa supaya membawa anak mereka untuk berjumpa dengan pakar pediatrik. Sekiranya rawatan diperlukan, kami bersedia untuk bekerjasama dengan juruterapi.
Melalui temu bual ini, Kiddy123 berasa amat gembira untuk mengenali tadika Villamaria yang begitu mengambil berat dan berusaha untuk menjaga kebajikan dan kesejahteraan setiap pelajar.
Sebagai maklumat tambahan, pengetua prasekolah juga memberitahu kami bahawa tadika dan taska yang sudah berumur 60 tahun ini turut mempunyai pelajar daripada generasi ketiga. Maksudnya, ada ibu bapa serta datuk atau nenek pelajar di Villamaria sekarang yang merupakan bekas pelajar Villamaria Good Shepherd Kindergarten & Nursery! Pengetua prasekolah berasa teruja apabila ada datuk atau nenek pelajar yang memberitahu dia bahawa mereka berasa paling gembira ketika belajar di Villamaria waktu dulu.
Ini sememangnya testimonial yang sungguh hebat!