by on 26/01/2018 902
Canvas World adalah berbeza dengan tadika biasa. Ini adalah sebuah pusat pembelajaran yang menggunakan program yang disusun khas oleh Cik Ila dan Cik Melissa. Saya berasa amat kagum dengan minat mereka dalam bidang pendidikan serta dedikasi mereka untuk melaksanakan kaedah pengajaran yang paling berkesan supaya pembelajaran adalah menyeronokkan bagi kanak-kanak.
Nama Canvas World adalah dipilih untuk mencerminkan kepercayaan dan falsafah mereka. “Canvas” dipilih kerana kanak-kanak yang baru memasuki Canvas World adalah bagaikan kain kanvas yang kosong dan bersih. “World” pula dipilih untuk melambangkan keseluruhan, tanpa mengecualikan atau mendiskriminasikan mana-mana individu. Di sini, mereka akan menerima dan memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk setiap kanak-kanak yang memasuki tadika ini. Apabila digabungkan, “Canvas World” adalah sebuah oasis pengetahuan yang mengagumkan di mana kanak-kanak boleh menemui keupayaan, bakat serta minat mereka dan sebagainya. Dalam perjalanan penemuan diri ini, kanak-kanak tidak hanya menemui siapa diri mereka, malahan apa yang mereka boleh lakukan pada masa depan!
Program di Canvas World adalah unik kerana semua rancangan pengajaran telah direka oleh mereka sendiri dengan memberi tumpuan kepada rancangan pembelajaran yang sesuai untuk setiap kanak-kanak yang masing-masing mempunyai gaya dan kelajuan pembelajaran yang berbeza-beza. Berbanding dengan buku teks, aktiviti amali digunakan untuk menarik minat kanak-kanak semasa belajar. Setiap aktiviti yang dirancang mempunyai tujuannya, termasuklah sesi bermain. Canvas World percaya bahawa dengan terbinanya asas yang kukuh, kanak-kanak berumur 5 dan 6 tahun akan berasa lebih mudah untuk memperoleh pengetahuan.
Bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris, Canvas World menggunakan fonik Letterland untuk mengajar kanak-kanak membaca, menulis dan mengeja. Letterland tidak menggunakan huruf berwarna hitam yang biasa, sebaliknya watak piktogram yang mesra kanak-kanak digunakan dan semua watak ini tinggal di dalam sebuah dunia rekaan yang bernama Letterland! Dunia rekaan sebegini menjadikan sesi pembelajaran jauh lebih menarik dan menyeronokkan bagi kanak-kanak.
Perkara-perkara kecil seperti inilah yang akan membangkitkan keinginan kanak-kanak untuk belajar dan mengingatinya,kata Melissa.
Kanak-kanak juga akan belajar membaca dan menulis dalam Bahasa Malaysia serta Bahasa Mandarin melalui aktiviti seperti melakar garis pada dulang pasir (sand tracing) dan pembacaan terbimbing (guided reading). Canvas World percaya akan keajaiban buku cerita. Oleh itu, mereka telah banyak memberi perhatian dalam persediaan sudut perpustakaan yang selesa dan juga sudut pembacaan di dalam setiap bilik darjah. Semua sudut ini mempunyai pelbagai buku kanak-kanak daripada penerbit dan pengarang yang berbeza. Terdapat sesi pembacaan terbimbing untuk semua kanak-kanak pada setiap hari. Selain itu, sesi bercerita mingguan turut dijalankan untuk merangsang daya imaginasi dan daya kreatif kanak-kanak.
Sesi “tunjuk & cerita” juga diadakan pada setiap minggu dan kanak-kanak akan membawa apa-apa yang berkaitan dengan topik pada minggu berkenaan dari rumah mereka. Setiap kanak-kanak akan diberi peluang untuk berkongsi cerita dan pengalamannya dengan rakan-rakan sebayanya. Ini bukan saja meningkatkan penglibatan kanak-kanak, malahan meningkatkan kemahiran penyampaian dan komunikasi mereka. Dengan menggunakan konsep yang sama, kanak-kanak akan mempelajari Matematik melalui permainan atau objek yang mereka bawa. Kanak-kanak yang lebih tua pula akan mempunyai konsep yang lebih rumit sedikit, misalnya mengkategori, mengira dan melukis graf. Canvas World mahu kanak-kanak lebih banyak melibatkan diri dalam proses pembelajaran supaya mereka boleh melihat dan memahami kaitannya, lantaran boleh menggunakan pengetahuan tersebut dalam kehidupan harian kelak.
Selain daripada aktiviti akademik yang biasa, sesi mingguan yang bernama “Kelab Kegembiraan” turut dimasukkan ke dalam jadual waktu di Canvas World. Aktiviti yang dijalankan dalam sesi “Kelab Kegembiraan” termasuklah berkebun, eksperimen sains dan memasak. Semua aktiviti ini dijalankan di bawah bimbingan dan pengawasan guru-guru. Aktiviti tersebut dijalankan dengan menggunakan bahasa yang berbeza pada setiap minggu berdasarkan guru yang bertanggungjawab pada minggu itu. Maka, ketiga-tiga bahasa diberi penekanan yang sama banyak dan kanak-kanak juga dapat melatih kemahiran motor mereka. Terdapat satu lagi Kelab Canvas yang terbuka kepada kanak-kanak berumur 6 hingga 15 tahun. Kebanyakan kelas dalam kelab ini dijalankan pada hari Sabtu dan tumpuan diberi kepada kemahiran penyampaian dan penulisan kreatif. Bagi penulisan kreatif (juga dikenali sebagai Kelab Penulis), pelajar akan belajar cara-cara untuk menghasilkan dan menerbitkan sebuah cerita – bermula dari penyediaan draf, penyuntingan, penggunaan perkataan-perkataan tertentu dan akhirnya penerbitan cerita tersebut. Satu lagi kelas yang bernama Stage (Pentas) akan memberi tumpuan kepada kemahiran persembahan seperti drama, bercerita (storytelling) dan pidato umum (public speaking).
Canvas World sedar akan kepentingan dan faedah penulisan kreatif, maka mereka telah merangkumi penulisan kreatif dalam jadual waktu bagi pelajar berumur 5 hingga 6 tahun. Penulisan kreatif dapat merangsang daya imaginasi dan menggalakkan daya kreatif kanak-kanak. Kanak-kanak akan dibimbing untuk menulis cerita pendek berdasarkan perkataan yang diberi ataupun topik mingguan. Tiada had ditetapkan bagi panjang cerita tersebut kerana tujuan sebenar tugasan ini adalah untuk mendorong kanak-kanak menyampaikan fikiran mereka melalui penulisan cerita serta memupuk minat terhadap penulisan kreatif. Guru tidak akan membetulkan hasil penulisan kanak-kanak tersebut kerana mereka mahu menggalakkan kanak-kanak ini menyampaikan fikiran mereka dengan bebas.
Di Canvas World, pembangunan dan perkembangan holistik kanak-kanak adalah paling dipentingkan. Kami mendapati bahawa terdapat cetakan berwarna-warni 7 Tabiat di hampir setiap penjuru tadika ini. 7 Tabiat ini adalah diambil, disesuaikan dan dipermudahkan daripada buku “The 7 Habits of Highly Effective People” supaya boleh difahami oleh kanak-kanak.
Canvas World sememangnya berbeza dengan tadika biasa kerana rancangan pelajarannya telah disesuaikan dan akan berubah berdasarkan keupayaan pembelajaran kanak-kanak. Ini adalah bertujuan untuk menjadikan pembelajaran lebih bermakna bagi kanak-kanak serta untuk menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat di luar persekolahan yang tradisional.