Knowledge Tree Montessori Kindergarten
Peter & Jane Kindergarten
Small Wonder, Damai
Little Angel Kindergarten
The children's house
Odyssey, The Global Preschool (Setia Eco Park)

Puasa Ramadan – Usia Berapa Anak Anda Boleh Mula Puasa? Adakah Ia Meningkatkan Jangkitan Covid-19?

by on 05/04/2022 687

Also available in : English

Ramadan – Bulan Puasa

Ramadan, bulan kesembilan dalam kalendar Islam merupakan bulan termulia dalam Islam. Semestinya, orang Islam seluruh dunia menantikan kedatangan bulan ini untuk mendekatkan diri dengan Allah serta mendapat keampunan daripada-Nya, kerana bulan Ramadan membawa keampunan yang besar. Berpuasa pada bulan Ramadan juga adalah salah satu tiang agama, dan ibadah ini akan dilakukan setiap hari dalam bulan ini dari terbit matahari sehinggalah terbenamnya matahari. Walaupun begitu, puasa bukanlah hanya semata menahan lapar atau dahaga tetapi juga dari perkataan dan perbuatan yang sia-sia dan nafsu syahwatnya. Dengan meninggalkan keinginan dunia dan menahan diri dari nafsu, orang Islam akan dapat memberi tumpuan kepada sisi spiritual mereka melalui tawadhu’ dan ketaatan kepada yang Esa.

 

 

 

Satu Tiang Agama Islam - Kewajipan Ibu Bapa

Berpuasa boleh menjadi satu cabaran, walaupun untuk orang dewasa. Jadi, perlukah kanak-kanak juga berpuasa pada bulan Ramadan dan pada umur berapakah mereka boleh mula berpuasa? Berdasarkan hadis suruhan mendidik anak-anak untuk solat dan pendapat para ulama, ibubapa haruslah menggalakkan si kecil untuk berpuasa seawal umur tujuh tahun sekiranya kanak-kanak tersebut sihat tubuh badan dan mindanya. Jika mereka enggan atau tidak berpuasa dengan sengaja, ibu bapa dibenarkan untuk mendidik mereka dengan pukulan kecil yang tidak menyakitkan. Walaupun begitu, terdapat cara-cara untuk anda memperkenalkan ibadah puasa kepada anak anda dengan lebih berkesan. Menerangkan rasional berpuasa juga adalah penting agar si kecil mahu berpuasa dan bukannya berpuasa kerana takutkan ibu bapa.

 

Apabila si kecil mula berpuasa, mereka boleh cuba berpuasa tanpa makanan dan minuman dengan berperingkat. Apabila mereka lapar atau dahaga, anda boleh membenarkan mereka berbuka. Sesetengah ibu bapa pula membenarkan si kecil minum pada siang hari tetapi tidak makan ketika bulan puasa untuk berlatih. Oleh kerana si kecil memerlukan banyak tenaga dan nutrisi untuk membesar, memaksa mereka berpuasa sepenuh hari boleh menjadi berbahaya. Jadi, sentiasa pantau anak anda untuk memastikan mereka tidak mengalami dehidrasi atau jatuh sakit.

 

Anda boleh memanjangkan masa mereka berpuasa pada keesokkan hari. Contohnya, jika anak anda berpuasa hanya suku hari, galakkan mereka untuk berpuasa setengah hari untuk esok dan lebih lama seterusnya. Mereka juga boleh dibiasakan untuk berpuasa setengah hari untuk beberapa hari. Apabila perut mereka terbiasa untuk tidak makan dan minum pada siang hari, lebih mudah untuk mereka berpuasa lebih lama nanti.

 

 

 

Bilakah Umur yang Sesuai untuk Anak Anda Mula Berpuasa?

Oleh kerana berpuasa akan menjadi satu kewajipan, meminta anak anda untuk berpuasa bukanlah sesuatu yang zalim, malah dengan belajar untuk berpuasa semasa mereka masih kecil akan menjadikan peralihan ke alam dewasa lebih mudah kerana mereka telah terbiasa untuk berpuasa. Secara idealnya, kanak-kanak boleh mula cuba berpuasa pada umur 7 tahun. Walaupun berpuasa di bulan Ramadan diwajibkan ke atas setiap Muslim, ibu bapa tidak boleh memaksa anak-anak mereka berpuasa . Sebaliknya, ibu bapa hendaklah menerangkan kepada anak-anak mereka tentang kepentingan dan kebaikan berpuasa dan mengapa orang Islam diwajibkan berpuasa. Bersikap terlalu berlembut juga tidak digalakkan kerana anak-anak mungkin akan menganggap puasa sebagai sesuatu yang remeh. Ibu bapa harus peka dengan keadaan anak-anak mereka semasa bulan puasa namun tegas pada masa yang sama.

 

Sebagai ibu bapa, anda lebih mengenali anak anda. Oleh itu, memutuskan masa terbaik untuk anak anda berpuasa terpulang kepada anda, asalkan ia mengikut hukum Shariah. Puasa tidak diwajibkan ke atas kanak-kanak yang masih belum baligh tetapi sebagai ibu bapa yang beragama Islam, adalah penting untuk memperkenalkan konsep puasa secepat mungkin kepada anak anda, supaya mereka membesar dengan memahami maksud sebenar berpuasa.



 

 

Adakah Berpuasa akan Meningkatkan Risiko Jangkitan Covid-19?

Memandangkan coronavirus terus berevolusi, tiada siapa yang pasti apa yang akan berlaku dalam tahun ketiga wabak ini. Oleh kerana kajian tentang kaitan berpuasa dan jangkitan virus adalah terhad, mereka yang berpuasa Ramadan mungkin akan bimbang.

 

Walau bagaimanapun, beberapa kajian [1, 2] menunjukkan bahawa berpuasa sebenarnya boleh meningkatkan sistem imun yang sihat berbanding dengan orang yang tidak berpuasa yang sihat. Beberapa kajian juga [3, 4] membuktikan bahawa sel manusia mempunyai lebih banyak daya tahan terhadap toksin dengan memanjangkan tempoh berpuasa. Selain itu, tiada bukti bahawa sistem pernafasan akan terjejas akibat pengambilan air yang tidak mencukupi.

 

Walaupun puasa Ramadan dianggap selamat untuk individu yang sihat semasa pandemik, kebanyakan saintis, doktor dan pakar perubatan masih tidak boleh mengatakan dengan pasti bahawa berpuasa pada masa seperti sekarang adalah tanpa faktor risikonya. Oleh itu, keputusan muktamad sama ada untuk membenarkan anak anda berpuasa atau tidak adalah sepenuhnya atas budi bicara anda sendiri.

 

 

 

1 Faris MeA-IE, Kacimi S, Al-Kurd RaA, Fararjeh MA, Bustanji YK, Mohammad MK, et al. Intermittent fasting during Ramadan attenuates proinflammatory cytokines and immune cells in healthy subjects. 

2 Javanmard SH, Otroj Z. Ramadan fasting and risk of covid-19. 

3 Guevara-Aguirre J, Balasubramanian P, Guevara-Aguirre M, Wei M, Madia F, et al. (2011) Growth hormone receptor deficiency is associated with a major reduction in pro-aging signaling, cancer, and diabetes in humans. 

4 Cheng CW, Adams GB, Perin L, Wei M, Zhou X, et al. (2014) Prolonged fasting reduces IGF-1/PKA to promote hematopoietic-stem-cell-based regeneration and reverse immunosuppression.