by on 12/01/2021 341
Sorotan utama |
|
Pusat Pembelajaran Bright Scholar, Taman Gembira adalah sebuah tadika yang mesra keluarga dan di sini para guru dan ibu bapa bekerjasama erat untuk mengoptimumkan hasil pembelajaran untuk kanak-kanak. Tadika yang menerima kanak-kanak dalam kumpulan usia 3 hingga 6 tahun ini menyediakan persekitaran yang menyeronokkan dan selamat, manakala guru-guru yang penyayang membolehkan kanak-kanak bersedia dari segi intelektual, kognitif, sosial, emosi dan jasmani untuk ke sekolah rendah.
Meninggalkan industri lain yang pernah diceburi, Cik Wong membuka sekolah ini dan tidak pernah menoleh ke belakang sejak saat itu. Beliau memegang kelayakan dalam pendidikan awal kanak-kanak dan sedang menyambung pelajaran dalam bidang keperluan khas. Ini merupakan mata tambahan bagi pelajar Bright Scholar yang mungkin berisiko mempunyai kelewatan perkembangan atau ketidakupayaan. Sebagai pengetua, beliau bekerja dengan tekun untuk memberikan pendidikan berkualiti yang memenuhi potensi setiap kanak-kanak.
Tadika ini menyediakan suasana seperti di rumah yang tentunya memastikan kanak-kanak berasa gembira dan selamat. Setiap elemen yang terdapat di sini membantu perkembangan kanak-kanak. Ruangan dan bilik darjahnya dilengkapi dengan bahan yang sesuai dengan usia yang boleh menambah pengetahuan dan menyalakan minat ke arah mencintai pengetahuan sepanjang hayat. Di kawasan luar tadika, terdapat taman permainan yang kecil dan kebun tempat kanak-kanak boleh bersama dengan alam semula jadi, di samping membina kemahiran motor kasar mereka. Di sebalik semua kemudahan ini, kanak-kanak merupakan tumpuan utama. Setiap kanak-kanak diberikan perhatian secara perseorangan mengikut kesesuaian keupayaan mereka. Malah nada dan tahap suara yang para guru gunakan dengan kanak-kanak bersifat menggalakkan dan menghormati.
Berpandukan pendekatan berasaskan tema, kanak-kanak duduk bersama dalam kumpulan dan belajar melalui bermain serta aktiviti yang menyeronokkan. Tidak ada dua hari yang serupa di sini. Para guru menggunakan topik menarik yang berlainan untuk membantu kanak-kanak menghubungkan pengetahuan akademik dengan dunia sebenar. Misalnya, di bawah topik “Tumbuhan”, kanak-kanak secara amali cuba menanam tauge yang memberikan mereka peluang belajar tentang tahap kitar hayat tumbuhan (iaitu sains); kemudian mereka boleh belajar mengenai warna (iaitu seni) ketika mereka ternampak serangga seperti rama-rama di kebun; dan apabila mereka akhirnya menuai tanaman dan memasaknya, mereka boleh mempelajari perkataan baharu di dapur seperti mangkuk, pisau dan sudu (iaitu bahasa).
Pembelajaran amali dengan rakan-rakan mereka ini merupakan cara yang berkesan untuk membantu kanak-kanak memperoleh kefahaman merentasi semua subjek, selain mengembangkan kemahiran yang penting. Mereka belajar tentang cara menguruskan emosi, berinteraksi dalam situasi sosial, keseimbangan dan kawalan, pergerakan motor halus, keupayaan membantu diri sendiri dan asas kemahiran membaca, menulis, bertutur dan mendengar. Lantas apabila tiba masa untuk memasuki sekolah rendah, kanak-kanak akan cukup berdikari untuk menyesuaikan diri dengan suasana baharu. Sepanjang perjalanan pendidikan ini, para guru sentiasa peka tentang tahap perkembangan penting dalam domain utama perkembangan awal kanak-kanak.
Selain itu, pengalaman lain di sini termasuklah konsert, hari sukan, acara keluarga, lawatan sambil belajar, program pengayaan dan kem cuti sekolah yang disertakan dalam kurikulum untuk merangsang imaginasi dan mencipta keajaiban dalam pembelajaran. Satu lagi komponen penting adalah dengan menarik minat kanak-kanak dalam acara kutipan derma amal apabila berkesempatan. Ini merupakan salah satu cara terbaik untuk mengajar mereka sifat yang penting seperti belas kasihan, kemurahan hati dan kemanusiaan yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat secara keseluruhannya pada masa akan datang.
Bagi memastikan kanak-kanak meraih manfaat yang besar daripada pengalaman prasekolah, ibu bapa digalakkan untuk mendaftarkan anak mereka dalam program harian penuh. Berada di bawah penjagaan guru berkelayakan dengan rutin harian yang konsisten dan dalam suasana kondusif untuk pembelajaran, terdapat lebih banyak peluang untuk kanak-kanak mengutip manfaat pendidikan dengan lebih pantas. Mereka dapat bercakap, bermain dan tertawa bersama rakan-rakan berbanding menghabiskan masa bersendirian di rumah tanpa matlamat. Ia memberi rangsangan kepada perkembangan sosioemosi mereka.
Untuk perkembangan yang mencakupi semua aspek dengan selengkapnya, kanak-kanak disediakan makanan yang berkhasiat agar terus sihat dan kuat. Sekolah ini menawarkan menu vegetarian yang disediakan menurut panduan yang diberikan oleh perunding pemakanan daripada Justlife – sebuah kedai runcit organik sehenti tempatan.
Setiap kanak-kanak mendapat tempat istimewa di Pusat Pembelajaran Bright Scholar. Sebagai rumah kedua, ibu bapa dialu-alukan untuk berkomunikasi dengan barisan pengajar agar peralihan anak-anak mereka ke tadika menjadi selesa.