by on 17/04/2017 322 714
Selepas mendaftar di pondok pengawal, kami terus memandu masuk ke dalam kawasan perumahan yang menenangkan ini. Kami rasa tempat ini amat sesuai untuk membuka tadika kerana suasana di sini agak senyap dan selamat. Oleh itu, ia merupakan persekitaran pembelajaran yang ideal. Sebaik sahaja kami tiba di Tadika Rainbow Lighthouse (TRL), kami terdengar bunyi “Ha! Ha! Ha!” di anjung TRL. Rupa-rupanya itu adalah suara sekumpulan kanak-kanak yang sedang berlatih Taekwondo dengan pengajar mereka. Apabila kami masuk ke dalam TRL, kami disambut oleh pengasas TRL, iaitu Cik Victoria.
Seterusnya, kami dijemput ke dalam pejabat Cik Victoria untuk menjalankan sesi temu bual yang ringkas untuk mengenali Cik Victoria dan sejarah penubuhan tadika ini. Sebenarnya, bangunan ini telah digunakan sebagai tadika selama hampir 20 tahun, tetapi Cik Victoria hanya mengambil alih premis ini pada tahun 2009 dan seterusnya menubuhkan TRL di sini. Apabila ditanya mengapa dia membuka tadika ini, Cik Victoria berkata, “Saya sangat sukakan kanak-kanak dan saya percaya kanak-kanak memerlukan kehidupan yang seimbang untuk membesar dengan sihat.”
Visi Cik Victoria semasa menubuhkan TRL adalah untuk menubuhkan sebuah pusat pembelajaran yang menawarkan aktiviti akademik dan kokurikulum yang seimbang. Cik Victoria mempunyai kelayakan dalam kaedah pendidikan Montessori. Oleh itu, dia tahu bahawa penggunaan kaedah Montessori sahaja adalah tidak memadai. Di TRL, kaedah pendidikan Montessori digabungkan dengan pendekatan bertema untuk menawarkan program pembelajaran yang sesuai dengan pelajar muda supaya mereka bersedia untuk pendidikan formal di Malaysia kelak.
Salah satu cabaran bagi tadika pada masa kini adalah untuk memberi pelajar muda suatu zaman kanak-kanak yang menyeronokkan dan pada masa yang sama memberi mereka pengetahuan supaya mereka bersedia untuk memasuki sekolah rendah kelak. TRL memahami keperluan sekolah rendah. Oleh itu, TRL menawarkan dua program yang berbeza, iaitu program yang menggunakan Bahasa Inggeris dan program yang menggunakan Bahasa Mandarin. Pelajar juga boleh memilih untuk mengikuti kedua-dua program jika mereka mampu menangani sukatan pelajaran kedua-dua program tersebut.
Kanak-kanak berumur 4 tahun ke bawah akan banyak menjalankan aktiviti praktikal untuk membantu perkembangan deria anak-anak kecil ini. Sebaliknya, aktiviti praktikal akan dikurangkan untuk kanak-kanak berumur 5 hingga 6 tahun. Cik Victoria menjelaskan bahawa kaedah Montessori boleh membantu kanak-kanak dalam pembelajaran mereka. Tetapi, selepas mereka belajar menulis dan membaca, kanak-kanak dalam kumpulan ini akan diberi lembaran kerja untuk berlatih berdasarkan perkembangan setiap individu.
Selain aktiviti akademik, TRL juga banyak menjalankan aktiviti kokurikulum. Sebelum kami tiba, mereka baru saja mengadakan sesi membuat sushi dengan bimbingan guru. Kadang-kadang sesi membakar (baking session) juga diadakan. Namun, kanak-kanak hanya akan terlibat dalam langkah-langkah mudah seperti mencampurkan bahan-bahan dan membuat doh. Langkah-langkah yang melibatkan dapur gas atau ketuhar akan dilakukan oleh guru sahaja.
Kita semua suka bermain masak-masak semasa kecil. Aktiviti begini memberi kanak-kanak peluang untuk mengambil bahagian dalam proses memasak dan mengajar mereka supaya menghargai makanan. Aktiviti kokurikulum yang lain termasuk kindergym , kelas muzik dan pendidikan jasmani. Kanak-kanak juga diberi pilihan untuk menyertai kelas taekwondo, balet, ucapan dan drama, perkembangan otak kanan serta membina blok. Semua kelas ini memberi kanak-kanak peluang untuk memilih aktiviti yang mereka minati. Kanak-kanak yang menyertai kelas tambahan akan diberi peluang untuk membuat persembahan dalam konsert tahunan.
Walaupun program yang dilaksanakan dalam sesebuah tadika adalah sangat penting, namun kami percaya bahawa tenaga pengajar juga memainkan peranan yang penting. Anak-anak kecil banyak menghabiskan masa di tadika. Masa yang diluangkan oleh kanak-kanak bersama guru mereka adalah hampir sama dengan masa yang diluangkan bersama ibu bapa mereka. Oleh itu, guru mempunyai pengaruh yang agak besar terhadap setiap kanak-kanak. Guru yang penyayang dan mempunyai azam yang kuat untuk mendidik generasi muda ini akan mempengaruhi proses pembelajaran kanak-kanak. Apabila kami berjalan melepasi bilik darjah, kami nampak senyuman lebar kanak-kanak di sini. Jelas kelihatan bahawa mereka berasa gembira di TRL.
Sebelum kami beredar, kami mengambil sedikit masa untuk menikmati pemandangan halaman TRL. Kami boleh membayangkan kanak-kanak menjalankan aktiviti fizikal di luar bilik di halaman yang luas ini. Segala-galanya kelihatan sungguh ceria dan terang di TRL, seperti rumah api berwarna-warni yang menjadi panduan hidup anak-anak kecil.